MENGAWAL PENYAKIT BERJANGKIT
Semua Ibubapa dan Pelajar,
Kolej Tunku Kurshiah,
Seremban, Negeri Sembilan.
CADANGAN LANGKAH MENGAWAL PENYAKIT BERJANGKIT DI PERINGKAT IBU BAPA
Sehubungan dengan peningkatan kes H1N1 di dalam negara, pihak pengurusan dan pentadbiran Kolej Tunku Kurshiah berpendapat adalah wajar untuk mempertingkatkan langkah-langkah kawalan di peringkat kolej untuk menghalang jangkitan kepada pelajar kolej.
Langkah-langkah yang dicadangkan adalah seperti berikut:
1. Lawatan ibu bapa pada hujung minggu harus dikurangkan buat sementara waktu memandangkan Peperiksaan Percubaan PMR dan Peperiksaan Percubaan SPM akan bermula pada 3 Ogos 2009, dan Ujian Pertengahan Penggal 2 yang akan bermula pada 10 Ogos 2009.
2. Sekiranya perlu berjumpa dengan anak atau jagaan, tempoh ‘contact’ semasa lawatan harap dapat di pendekkan agar pelajar dapat member tumpuan kepada persediaan untuk peperiksaan dan ujian yang akan datang.
3. Semua aktiviti luar yang melibatkan pelajar bergaul dengan kelompok luar yang ramai dibatalkan buat sementara waktu.
4. Semua pelajar kolej yang disahkan demam oleh pihak hospital kerajaan dan diberikan cuti lebih daripada satu hari, sekiranya ada ibu bapa yang memohon, dibenarkan dibawa balik. Sehingga mereka disahkan sihat.
5. Semua permohonan untuk ‘Outing Bermalam’ dibekukan buat sementara waktu sehingga semua peperiksaan dan ujian selesai untuk mengurangkan kebarangkalian jangkitan.
6. Sekiranya pelajar perlu balik bermalan, pelajar tidak digalakkan untuk balik menggunakan kenderaan awam. Ibu bapa atau ahli keluarga yang diamanahkan, diminta mengambil sendiri pelajar dari kolej dan menghantarnya sendiri balik ke kolej semula.
7. Pelajar yang balik bermalam (dengan kebenaran kolej) tidak dibenarkan menumpang kenderaan rakan.
TINDAKAN LANGKAH MENGAWAL PENYAKIT BERJANGKIT DI PERINGKAT SEKOLAH
8. Semua pelajar yang tidak sihat diminta melaporkan segera kepada PK HEM/warden/Guru Bertugas.
9. Dewan Makan diminta menyediakan air minuman bermasak yang secukupnya sepanjang masa dan semua pelajar digalakkan meminum air masak yang banyak.
10. Semua guru rumah diminta meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap kebersihan dorm dan kawasan asrama rumah masing-masing.
11. Semua guru diminta melaporkan sekiranya terkesan pelajar-pelajar di dalam kelas yang demam atau menunjukkan tanda-tanda ada selsema/batuk.
12. Semua pelajar yang mengikuti aktiviti luar diwajibkan mendapatkan bekalan topeng mulut daripada PK HEM.
13. Semua pelajar dan guru yang balik daripada aktiviti berkelompok di luar kolej, yang melibatkan mereka perlu bermalam, akan dikuarantin selama 24 jam di Bilik Sakit untuk tujuan pemantauan kesihatan oleh warden asrama.
14. Semua pelajar dan guru yang mengikuti aktiviti luar dan dikesan tidak sihat sebelum balik ke kolej, digalakkan untuk balik terus ke rumah, dan hanya balik ke kolej setelah sihat.
Sekian, terima kasih.
Pengetua.